Thursday 1 November 2018

5.1 Senyum Seindah Suria

Staf perlu diberikan senyuman, setiap hari semampunya anda.

Sebagaimana Rasulullah SAW mengajarkan kita semua untuk sentiasa senyum, jadi sentiasalah senyum kepada staf anda.

Pada saya setiap hari adalah hari yang berbeza. Semalam mungkin anda merasa sangat sakit hati dengan staf anda, namun keesokannya senyumlah kepada semua staf anda kerana ia adalah hari yang baru. Hari di mana penyelesaian perlu dicari atas kesilapan yang dilakukan oleh staf anda semalamnya.

Fokus kepada penyelesaian, bukan masalah, dilampirkan sekali dengan senyuman. Pasti staf anda juga terdorong untuk melakukan benda yang sama iaitu senyum dan mencari penyelesaian.

Cerita saya pula, sejujurnya saya tidak tahu yang saya ni mudah sangat tersenyum apabila berada dengan staf sehinggalah salah seorang staf saya bercerita kepada rakan kerja saya di jabatan lain. Katanya saya sering sahaja akan tersenyum apabila berada di makmal.

Saya rasa saya sebenarnya bukanlah seorang yang suka tersenyum. Ramai juga yang mengatakan yang saya ini seorang yang garang. Namun apa yang saya tahu, saya suka bergurau dengan staf saya. Apabila bergurau, pastilah akan tersenyum.

Saya juga sering bertanyakan khabar mereka, sihatkah hari ini, bagaimana dengan kerja, bagaimana dengan keluarga, dan pelbagai jenis soalan lagi.

Setiap hari tidaklah soalan yang sama berulangkali, cukuplah satu atau dua soalan yang mencetuskan perbualan santai.

Sehinggakan seorang staf saya suka juga bertanyakan soalan yang sama kepada saya.

"Sihat kak?"

Biasalah, mereka ini bekerja syif. Jadi memang akan ada beberapa hari yang saya tidak akan berjumpa dengan mereka kerana jadual mereka yang bekerja syif malam. Namun apabila staf saya yang seorang ini bekerja pada syif siang, itulah antara soalan yang akan diajukan kepada saya sebaik sahaja saya berada di makmal.

Senyumlah kepada staf semampunya setiap hari, kerana marah tidak menyelesaikan masalah. Marah akan menambahkan lagi masalah dan akibatnya masalah dan tekanan kerja semakin bertimbun. Saya tidak suka dengan situasi sebegitu dan saya percaya ramai juga eksekutif di luar sana yang tidak suka akan situasi ini.

Jadi para eksekutif, senyumlah. Setiap hari adalah hari yang baru.

No comments:

Post a Comment