Thursday 1 November 2018

1.1 Dari Pengalaman Ke Sebuah EBuku

Pengalaman mengajar kita tentang kehidupan.

Alhamdulillah, pengalaman saya sepanjang menjawat jawatan eksekutif benar-benar mengajar saya tentang kehidupan. Ia mengajar saya tentang mengurus manusia, mengurus masalah yang disebabkan oleh manusia dan juga mengurus jati diri saya sendiri.

Pengalaman itu kini saya kongsikan kepada anda supaya anda dapat mengambil pengajaran daripadanya. Ia juga dapat mengelakkan diri anda daripada melakukan kesilapan berulang dan dapat mengurangkan masa anda untuk mencuba banyak cara. Cukuplah satu atau dua cara yang berkesan, kemudian ulanginya sehingga berjaya. Ini kerana mencuba banyak cara mungkin akan merugikan masa anda sedangkan anda perlu melakukan tindakan pantas untuk mengurus staf anda.

Apa yang saya kongsikan di sini diharap dapat dimanfaatkan oleh eksekutif-eksekutif muda yang baru bekerja dan tiada pengalaman langsung untuk menyelia staf. Ia juga boleh diaplikasikan oleh eksekutif senior yang mungkin baru sahaja ditugaskan menyelia staf. Mereka yang bekerja sendiri juga dan yang menjalankan bisnes sendiri serta mempunyai staf, juga boleh mempraktikkan apa yang ada di dalam ebuku ini.

Ebuku ini berbeza kerana saya sesuaikan dengan budaya kerja di Malaysia dan ianya praktikal kerana pernah diaplikasikan oleh saya.

Semoga ebuku ini dapat memberikan anda panduan dan juga cara yang efektif untuk anda menguruskan staf seterusnya dapat bekerja dengan gembira setiap hari.

No comments:

Post a Comment