Friday, 2 November 2018

1.2 Bergayalah Seperti Seorang Eksekutif

Semasa saya mula bekerja, jabatan saya tidak mempunyai kerani. Sehinggalah hampir setahun bekerja, kami masih lagi tidak mempunyai kerani.

Sebelum saya masuk bekerja, kerja perkeranian di jabatan saya dilakukan oleh kerani di jabatan yang lain. Setelah saya masuk bekerja dan setelah senior saya berhenti kerja dalam beberapa bulan selepas saya bekerja, saya melihat bahawa kerja perkeranian itu terpaksa dilakukan oleh saya sendiri. Terdapat beberapa sebab yang saya tidak boleh nyatakan di sini.

Jadi saya pun belajar dari kerani tersebut bagaimana untuk membuat kerja perkeranian untuk jabatan saya. Namun setelah beberapa ketika, saya rasa menyesal melakukannya. Ini kerana saya telah mencalar imej saya sebagai seorang eksekutif.

Bukanlah nak berlagak diva atau apa, tetapi saya melihat imej yang dibentuk oleh saya mempengaruhi bagaimana rakan sekerja saya dari jabatan lain memandang saya. Ia juga memberi kesan kepada kelancaran kerja saya. Sudahlah dengan tugas hakiki saya sebagai eksekutif, ditambah pula dengan kerja perkeranian. Malu pun ada juga kerana dipandang sebagai seorang kerani padahal saya adalah seorang eksekutif. Saya tidak mengatakan bahawa kerja kerani itu tidak elok, namun apabila seorang eksekutif terpaksa membuat kerja seorang kerani, ia memberi gambaran yang tidak tepat kepada jabatan-jabatan lain.

Bayangkan anda baru sahaja bekerja dan anda bersama kerani-kerani yang lain berbondong-bondong datang ke jabatan lain untuk menghantar borang cuti, meminta tandatangan dan sebagainya. Saya seakan telah menyampaikan imej yang salah ke jabatan lain.

Apa yang saya perlu lakukan pada masa itu sebenarnya terus membiarkan kerani di jabatan lain itu membuat kerja perkeranian untuk jabatan saya sehinggalah saya mendapat kerani yang baru.

Akhirnya setelah berbincang dengan bos saya, saya mendapat seorang pembantu teknikal yang mana akan juga membuat kerja perkeranian untuk jabatan saya dan dia adalah lelaki berbanding kerani-kerani lain yang kebanyakannya perempuan. Tapi memang kebiasaan di syarikat saya bekerja itu, pembantu teknikal adalah lelaki. Cuma, di samping kerja-kerja teknikal, dia juga akan melakukan kerja-kerja perkeranian di mana tidaklah terlalu banyak kerana staf di jabatan saya tidaklah terlalu ramai. 

Jabatan saya sekurang-kurangnya akan mempunyai enam orang staf mengikut jadual syif dan dua orang pekerja yang mengikut jadual waktu pejabat. 

Apa-apa pun ia benar-benar satu pengajaran bagi saya.

Mengapa saya begitu menekankan perihal imej ini. Di bab seterusnya saya akan terangkan mengapa.
Akhir kata, once an executive, be an executive.

No comments:

Post a Comment