Wednesday 28 November 2018

Ebuku Mengurus Staf Gaya Eksekutif



Pembelian boleh dibuat melalui WhatsApp: www.wasap.my/60192265281


Senarai Kandungan
Tinta Pengarang
Bab 1: Mengurus Staf Gaya Eksekutif
1.1 Dari Pengalaman Ke Sebuah EBuku
1.2 Bergayalah Seperti Seorang Eksekutif
1.3 Mengurus Staf Bermula Dari Memilihnya
1.4 Ketegasan Seorang Eksekutif
1.5 Timba Ilmu Keeksekutifan
1.6 Jadi Kubu Kuat
1.7 Tidak Rugi Merendah Diri
1.8 Jeling-Jeling, Pandang-Pandang
1.9 Kata-Kata Seorang Eksekutif
1.10 Suntik Inovasi

Bab 2: Cabaran Staf Bermasalah
2.1 Staf Bermasalah Ada Di Mana-Mana 
2.2 Staf Datang Lambat
2.3 Staf Tidak Tahu Nak Buat Apa
2.4 Staf Kuat Melawan
2.5 Staf ‘Missing In Action’
2.6 Medium Komunikasi
2.7 Masalah Dengan Staf Lelaki
2.8 Masalah Dengan Staf Perempuan
2.9 Sesi ‘Ramah Mesra’
2.10 Bertindak Mengikut Saluran


Bab 3: Strategi Mendorong
3.1 Mendorong Perlukan Kesabaran
3.2 Berikan Mereka Kuasa’
3.3 Sampaikan Pujian Pihak Atasan
3.4 Staf, Ilmu Ini Untuk Anda
3.5 Lemau Si Veteran
3.6 Apa Pendapat Anda Wahai Staf
3.7 Kawasan Ini Kita Yang Punya
3.8 Menyuruh Tanpa Kelihatan Disuruh
3.9 Wujudkan Projek Khas
3.10 Setiap Staf Adalah Penting

Bab 4: Motivasi
4.1 Kerja Itu Ibadah
4.2 Ada Apa Dengan Imej
4.3 Berhati-hati Dengan Pengharapan
4.4 Membaca Jambatan Ilmu
4.5 Bukan Salah Aku
4.6 Hargai Diri Sendiri
4.7 Korek Harta Karun’
4.8 Jaga Hubungan Dengan Pencipta
4.9 Diam Dan Dengar
4.10 Empati Dan Simpati


Bab 5: Bekerja Dengan Gembira
5.1 Senyum Seindah Suria
5.2 Rutin, Bosan Atau Seronok?
5.3 Jom Bual Santai
5.4 Tempat Kerjaku Syurgaku
5.5 Bersyairlah Ketika Marah
5.6 Personaliti Si Dia’ 
5.7 Berkongsi Rezeki Merapatkan Hubungan
5.8 Gaduh Sini, Gaduh Sana
5.9 Faktor Luaran
5.10 Lakukan Aktiviti Sampingan

Rujukan


DAPATKANNYA SEGERA!!

Thursday 15 November 2018

2.2 Staf Datang Lambat

Staf datang lambat ataupun tidak datang langsung tanpa memberitahu anda terlebih awal sememangnya satu masalah yang besar.

Bagi sebuah kilang yang beroperasi 24 jam, operasi boleh terhenti jika ketiadaan staf yang mencukupi. Ini menyebabkan kerugian kepada syarikat. Mana-mana operasi perniagaan pun jika bilangan staf tidak mencukupi pada satu-satu masa memang ia satu situasi yang tidak diingini oleh mana-mana eksekutif.

Pening kepala memikirkannya.

Bagi kilang pula kebiasaanya mereka mengira kerugian berdasarkan waktu operasi. Contohnya berapa kerugian jika operasi terhenti selama seminit, selama 30 minit, selama satu hari dan sebagainya. Jadi jika ada staf yang lambat masuk ke tempat kerja atau yang tidak datang langsung ke tempat kerja memang akan membawa masalah yang besar kepada kilang.

Masalah ini juga dihadapi oleh saya. Walaupun jabatan saya hanyalah jabatan sokongan namun keputusan ujian dari makmal saya amat penting untuk mengekalkan kualiti bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan produk kepingan besi terawat yang dihasilkan oleh kilang yang saya bekerja itu.

Memang ada beberapa kes di mana syif malam saya langsung tiada staf yang datang bekerja. Begitu juga dengan syif siang. Namun syif siang risikonya berkurang kerana saya memang ada seorang penyelia yang bekerja di waktu pejabat kerana ada set ujian makmal lain yang hanya dibuat pada waktu pejabat.

Antara perkara yang saya lakukan untuk mengurangkan risikonya adalah:

1. Selalu ingatkan penyelia untuk sentiasa memantau kedatangan juruteknik di bawah seliaannya. Juruteknik adalah di bawah seliaannya dan mereka juga perlu ambil tahu tentang staf mereka walaupun mereka cuti pada hari itu. Contohnya apabila juruteknik datang lambat atau tidak datang langsung, mereka perlu memaklumkan kepada penyelia mereka dahulu berbanding eksekutif.

2. Latih kedua-kedua penyelia dan juruteknik supaya mahir semua ujian, tiada lagi pembahagian kerja mengikut ujian, multitasking orang kata.

3.  Meletakkan staf yang selalu datang lambat ini dengan staf yang tiada masalah kedatangan. Iya, staf yang tiada masalah ini memang akan merungut tetapi seperti saya, saya tidak sanggup memperjudikan kredibiliti saya. Pujuklah supaya bertahan untuk 2-3 bulan ke hadapan sementara anda mengambil tindakan melalui Jabatan Sumber Manusia.

4. Seperti biasa ambil tindakan mengikut yang digariskan oleh Jabatan Sumber Manusia, iaitu kaunseling, surat amaran dan sebagainya.

Pemotongan gaji juga salah satu cara untuk mengenakan tindakan kepada staf yang lambat. Apapun ia bergantung kepada pertimbangan anda. 

Monday 12 November 2018

5.10 Lakukan Aktiviti Sampingan

Ya, aktiviti sampingan boleh bermacam-macam. 

Mungkin aktiviti sampingan yang anda fikirkan apabila berkenaan dengan tempat kerja adalah seperti bermain boling dengan rakan sekerja, membuat jamuan makan bersama staf dan sebagainya.

Jika syarikat anda bekerja ada mengadakan pertandingan boling pun menarik juga untuk disertai. Jika dahulu di syarikat saya bekerja, kami ada kelab sukan dan rekreasi. Memang banyak aktiviti yang dilakukan. Antaranya pertandingan bolasepak, futsal, bola jaring, bola tampar, boling, merentas desa dan sebagainya. Ada juga lawatan ke negeri lain, pertandingan mencari harta karun dan banyak lagi.

Pada saya aktiviti sampingan ini tidak semestinya aktiviti-aktiviti yang hanya dilakukan dalam jangka masa pendek. Anda juga boleh merancang aktiviti bersama staf yang boleh dilakukan dalam jangka masa panjang.

Contohnya seperti di tempat kerja saya dahulu, setiap jabatan diwajibkan membuat kolam air di kawasan di jabatan mereka. Memang sangat seronok. Pelbagai kreativiti yang dipamerkan di setiap kolam yang dibina. Kami pun kadangkala boleh berehat-rehat di kawasan kolam tersebut.

Pelbagai idea boleh dilaksanakan di tempat kerja anda. Fikirkan satu atau dua idea yang anda boleh bawa berbincang dengan bos dan staf anda.

Mungkin bagi anda yang bekerja di dalam bangunan, anda dan staf boleh bersama-sama menanam sayur-sayuran secara hidroponik. Hasilnya nanti boleh dikongsi dengan bersama-sama. Mungkin juga boleh melukis mural secara bergilir-gilir di antara staf di mana ianya dijalankan dalam masa 2-3 bulan. Mungkin juga boleh meniruvasi idea-idea di pejabat di luar negara.

Bagi pemilik bisnes, anda juga boleh mulakan sendiri walaupun staf anda mungkin tidaklah berapa ramai. Mungkin anda boleh adakan aktiviti yang melibatkan ahli keluarga mereka juga, jadi penyertaannya ramailah sedikit.

Tidak dinafikan aktiviti sebegini menjadi salah satu faktor untuk seseorang staf itu seronok bekerja. Anda pun seronok, staf pun tentunya lebih seronok.

4.10 Empati Dan Simpati

Empati dan simpati, nampak macam sama tetapi berlainan.

Ya, ianya berlainan. Sefaham saya simpati adalah rasa kasihan kita kepada orang lain manakala empati pula rasa seperti kita yang berada dalam situasi orang tersebut.

Baguskah kedua-dua sifat ini?

Memang anda sendiri pun akan kata bagus, sifat yang baik, mestilah bagus kan? Namun ingin saya memberi peringatan di sini, biarlah berpada-pada. Dunia realiti tidak sama dengan dunia di dalam buku, tidak kira buku cerita mahupun buku motivasi.

Berpada-padalah dalam memberi empati dan simpati kepada mereka yang berada di alam pekerjaan anda. Tidak kira kepada sesiapa pun, kepada bos, rakan sekerja, staf, tidak kira dari jabatan anda atau jabatan lain.

Bukan tidak boleh mempraktikkan dua sifat ini, tetapi lihatlah pada orangnya dahulu. Selidiki latar belakangnya, risau anda pula yang akan diambil kesempatan. Dunia pekerjaan bukan seperti dunia di universiti ya, ada bff apa bagai. Dunia pekerjaan lain, alam realiti yang lain.

Pesan saya juga, sentiasalah berwaspada dan berdoa supaya dijauhkan dengan orang-orang yang sebegini.

Saturday 10 November 2018

5.8 Gaduh Sini, Gaduh Sana

Terkejut ya baca tajuk, bergaduh apa pula ni kan?

Iya, bergaduh, memang kadangkala tak dapat elak situasi bergaduh ni. Bukanlah sahaja bergaduh yang bertumbuk bertepuk tampar tu, termasuk juga rasa tidak puashati di kalangan mereka yang bekerja di tempat kerja anda.

Tidak kiralah rasa tidak puashati antara anda dengan staf, antara staf dengan staf, atau antara jabatan dengan jabatan. Antara jabatan ni orang kata ianya sebahagian daripada politik pejabat. 

Apa yang saya boleh katakan berkenaan politik pejabat ini, jika boleh ambillah pendirian atas pagar. Ambil peduli kena ambil peduli juga, namun jika mampu, diamkan diri sahaja berkenaan politik pejabat ini. Sebab susah nak kata, kadangkala boleh memakan diri, jadi baik ambil pendirian diam sahaja.

Bagi rasa tidak puashati antara anda dengan staf pula, ia mengikut situasi. Pada saya jika ianya mengganggu prestasi kerja, tidak kiralah prestasi anda atau prestasi staf, lebih baiklah bertindak secara profesional. Jika ia tidak melibatkan prestasi kerja, baik abaikan sahaja.

Begitu juga antara staf. Pernah juga saya menghadapi staf-staf yang seakan ada skandal percintaan sedangkan kedua-dua telah berkahwin dengan pasangan masing-masing. Pada saya, selagi ia tidak berlaku di tempat kerja secara keterlaluan, abaikanlah sahaja. Sebab saya pun tiada bukti, hanya dengar cakap-cakap orang sahaja dan nampaknya skandal itu tidak terlalu ketara. Jika ia terlalu ketara sehingga menjejaskan imej jabatan saya, mungkin saya akan mengambil tindakan juga mengikut bukti yang saya ada.

Saya mahu semua staf saya selesa dan gembira dalam keadaan yang normal, bukannya kurang normal dengan adanya kes skandal, kes bergaduh dan macam-macam kes lagi. Bukti juga perlu ada untuk mengambil apa-apa tindakan.

Apa-apa pun saya percaya anda juga mempunyai pertimbangan yang wajar dalam perkara sebegini.

Tidaklah terlalu membiarkannya sahaja pula kerana ia mungkin juga boleh jadi kes gangguan seksual. Bertindak atas keperluan, pastikan skil perisik anda hebat.

Suasana bekerja yang tiada isu-isu sebegini memang penting ya supaya anda dan orang di sekeliling anda dapat bekerja dengan gembira. Memang selalulah kita mendengar cerita ramai yang berhenti disebabkan isu-isu sebegini.

Jadi saya coretkan di dalam ini supaya anda sentiasa beringat. Pastikan tiada isu yang melibatkan anda yang boleh membuatkan anda tidak gembira bekerja di tempat kerja anda.

2.10 Bertindak Mengikut Saluran

Setiap syarikat pastinya ada bahagian Sumber Manusia dan pastinya di bahagian Sumber Manusia ini terangkum juga perihal staf yang bermasalah.

Merujuk kepada bahagian Sumber Manusia adalah perlu untuk mendapatkan nasihat dan rujukan atas apa yang perlu dibuat kepada staf yang bermasalah ini. Apakah langkah-langkahnya menurut undang-undang di Malaysia dan sebagainya, apa yang boleh anda lakukan dan apa yang tidak boleh.

Tidak perlu untuk mensesakkan kepala ini jika staf itu sendiri yang tiada inisiatif untuk menukar sikapnya. 

Ikut saluran yang betul dan mungkin anda mempunyai peluang baru untuk mendapat staf yang lebih baik.

3.10 Setiap Staf Adalah Penting

Staf adalah aset, aset yang sangat penting.

Bagi eksekutif yang bekerja makan gaji, anda tidak akan berapa nampak akan kepentingan staf ini. Namun untuk pemilik bisnes, iya, setiap staf adalah pelaburan. Pelaburan untuk mendapatkan lebih aset. Hendak tak hendak pemilik bisnes ini harus juga sedaya upaya menjadikan staf ini aset dan bukannya liabiliti.

Namun bukan itu yang saya mahu bicarakan di sini. Saya ingin membicarakan bahawa sangatlah perlu untuk menjadikan seseorang staf itu berasa dirinya sangat penting dalam sesebuah organisasi.

Pasti anda akan ada staf kegemaran dan staf yang kurang digemari. Pada saya, itu adalah normal. Walaubagaimanapun tidak perlulah terlalu menonjolkan sikap yang menunjukkan anda hanya menggemari sesetengah staf sahaja.

Pengalaman saya, iya, saya pun ada staf kegemaran saya juga. Kegemaran dari segi sikap dan kerjanya, memang puashati. Namun kita perlu adil kepada semua. Peluang perlu diberikan kepada semua. Pada saya cubalah sedaya upaya untuk menjadikan semua staf merasakan bahawa mereka semua adalah penting.

Anggap semua staf adalah sama pentingnya. Walaupun mungkin staf itu seorang yang bermasalah, layan mereka seperti anda melayan juga staf yang lain. Ia mungkin menjadi sebab untuk staf tersebut memikirkan kesalahannya dan menukar sikapnya menjadi lebih baik.

4.9 Diam Dan Dengar

Diam dan dengar, ya, dengar apa yang staf anda mahu katakan.

Kebanyakan dari kita, manusia, sangat sukar untuk mendengar. Antara faktor yang boleh mengelakkan terjadinya suatu pertelagahan adalah diam dan mendengar. Sesungguhnya manusia sangat sukar untuk diam dan mendengar.

Jika anda perhatikan, dalam hubungan apa pun di dunia ini, hubungan kekeluargaan, hubungan adik-beradik, hubungan antara rakan-rakan dan banyak lagi, kebanyakan punca timbulnya salah faham apabila kedua-dua pihak tidak mahu diam dan mendengar.

Kemahiran mendengar, pada saya kemahiran yang harus dipelajari dan dikuasai oleh semua orang. Bukan mudah ya hendak mendengar, mendengar yang bukan setakat mendengar sahaja, mendengar dan prihatin di mana pada saya sangat memerlukan latihan dan kesabaran.

Mendengar tidak semestinya anda bersetuju, namun berikan ruang untuk pihak yang lain itu mengutarakan pandangan mereka.

Antara cara yang saya selalu lakukan adalah saya membayangkan antara saya dan orang yang saya sedang bercakap itu, antara kami hanya ada sebiji batu. Sesiapa yang memegang batu itu dialah yang akan bercakap, yang lain hanya mendengar. Saya hanya boleh bercakap hanya apabila saya diserahkan batu tersebut iaitu di mana orang tersebut memberi saya peluang untuk bercakap. Tahanlah hati ini selagi tidak diberikan peluang untuk bercakap. 

Kuasai kemahiran ini, InsyaAllah anda akan lebih menguasai kehidupan berbanding orang lain yang kurang mendengar.

Friday 9 November 2018

3.9 Wujudkan Projek Khas

Pada saya, antara cara untuk mendorong staf adalah lakukan sesuatu yang di luar rutin kerja harian staf anda dan pastikan ia bermanfaat bagi mereka.

Ini kerana jika staf anda tidak nampak manfaatnya pada mereka, mereka tidak akan rasa terdorong untuk melakukannya. Mereka akan rasa ianya tambahan kerja yang membebankan.

Seperti di makmal saya, kami adakalanya mendapat permintaan daripada bahagian operasi untuk melakukan ujian yang selain daripada ujian rutin yang dibuat setiap hari. Contohnya ada satu bahagian operasi ini mempunyai masalah dengan bahan kimianya, jadi mereka mahu menjalankan beberapa siri ujian untuk mengenalpasti punca masalahnya. Ada juga yang ingin membuat penambahbaikan pada kuantiti bahan kimia yang digunakannya, jadi ujian percubaan perlu dilakukan dahulu.

Memanglah ujian khas ini adalah di dalam skop kerja jabatan kami namun apa yang saya perhatikan staf saya merasa kurang bosan apabila adanya ujian khas ini. Ditambah lagi apabila ujian khas ini saya gunakan sebagai kriteria dalam pemarkahan KPI mereka.

Anda mungkin boleh berbincang dengan bos anda untuk mewujudkan projek khas untuk staf anda. 

Tidak tahulah saya di syarikat lain bagaimana tetapi di syarikat saya penambahbaikan seakan satu agenda wajib di dalam syarikat, terutama penambahbaikan yang boleh mengurangkan kos operasi.
Mungkin ada staf yang menganggap ianya satu bebanan, jadi peranan anda sebagai seorang eksekutif untuk menjadikannya seronok dan menunjukkan manfaat yang staf anda akan dapat sekiranya mereka melakukan tugasan khas ini, contohnya seperti pemarkahan di dalam KPInya nanti.

1.3 Mengurus Staf Bermula Dari Memilihnya

Di syarikat saya bekerja dahulu, eksekutif dipertanggungjawabkan untuk menemuduga calon penyelia dan juruteknik kami sendiri. Saya pasti kebanyakan syarikat juga begitu.

Pada waktu inilah antara waktu terbaik untuk anda memilih staf yang akan anda uruskan nanti.

Kebiasaannya memang anda akan memilih berdasarkan apa yang ada pada resumenya, dan pastinya tahap pendidikan menjadi salah satu kriteria untuk anda memilih. Begitu juga dengan saya dahulu. Jika boleh saya mahukan staf yang mempunyai latar belakang pendidikan Sains dan Kimia, jika bukan di tahap sijil atau diploma pun, di tahap SPM pun jadilah.

Namun setelah beberapa tahun saya seakan harus menukar strategi. Saya melihat bahawa kemahuan untuk bekerja lebih penting. Malah mereka yang boleh bekerjasama dan menurut arahan juga penting.

Setelah beberapa siri kes staf yang berhenti kerja kerana mendapat peluang lain yang lebih menepati kehendak jiwa mereka, saya menggariskan beberapa soalan penting semasa temuduga.

Ini tips bagi anda juga, tips yang saya perolehi sendiri setelah beberapa tahun mengambil staf. Jika anda ingin menjimatkan masa daripada mengulang kesilapan saya bertahun-tahun, anda boleh praktikkan tips ini. Rupanya rakan saya juga tanpa saya ketahui menggunakan tips ini setelah banyak kali menemuduga staf yang akhirnya selepas itu berhenti dalam masa yang singkat. Penat ya mengambil staf baru ni, sebab setiap kali ada staf baru kita kena melatih mereka, menyelia kerja mereka dengan lebih kerap kerana mereka tiada kemahiran lagi dan banyak lagi perkara yang perlu diatur. Saya mengetahuinya apabila suatu hari kami sama-sama berbincang mengenai staf kami.

Tips saya, setelah bertanya soalan yang biasa ditanya di dalam temuduga, saya akan menerangkan skop kerja atau kerja yang akan dilakukan oleh bakal staf saya. Tidak terlalu terperinci namun cukup bagi mereka untuk tahu akan suasana kerja yang bakal mereka hadapi.

Antara soalan saya: 

1. Kerja makmal bukan kerja lelaki, bolehkah nak buat. Boleh itu pasti ramai yang kata boleh buat, tapi hendakkah mereka buat. Apa yang saya katakan di atas tadi, kemahuan untuk bekerja.
2. Biasa lelaki suka kerja yang kasar-kasar, yang berat-berat, yang melibatkan banyak pergerakan dan sebagainya. Jadi saya bertanya bakal staf saya ini bolehkah dia membuat kerja-kerja yang tidak kasar pada pandangan lelaki kerana kerja di makmal banyak bermain dengan alatan yang kecil dan halus, yang perlu dikendalikan secara teliti dan berhati-hati. 

Bahagian ini yang sangat penting. Semasa bertanya soalan-soalan ini, saya akan melihat riak muka dan gerak tubuhnya. Iya, riak muka dan gerak tubuhnya. Kerana apa, kerana riak muka dan gerak tubuh susah untuk menipu.

Kemudian saya bertanya lagi, "Ok, awak dah cakap boleh, saya pegang ya kata-kata awak, jangan nanti baru 3 bulan kerja nak kata tak boleh pula, kata tak minat pula."

Saya inginkan satu kepastian dari mereka yang boleh saya pegang dan boleh saya tuntut kembali apabila mereka mengadu tidak suka atau tidak minat dengan kerja yang mereka lakukan sekarang.

Memang banyak cerita mengenai staf ini. Memang pening kepala memikirkannya. Sebab itu bagi saya pentingnya sesi temuduga dan pentingnya memilih staf yang sesuai sebelum anda bekerja dengan mereka.

Ini antara pengalaman saya. Anda boleh gunakan cara saya ini jika anda mahu. Nampaknya memang berkesan, pada pengalaman saya. Ramai staf yang saya ambil cara begini lebih bertahan lama dari yang sebelum-sebelum ini. 

1.6 Jadi Kubu Kuat

Saya teringat satu peristiwa di satu hari ini, di mana bos pertama saya tiba-tiba sahaja datang kepada saya dalam keadaan yang sangat marah.

Semasa itu saya sedang berada di pejabat rakan sekerja saya di mana rakan sekerja saya itu juga di bawah jagaan bos saya. Tentulah saya rasa terkejut dan takut dimarahi oleh bos saya kerana mungkin dia tidak suka saya pergi ke pejabat rakan sekerja saya itu. Bos pertama saya adalah lelaki, seorang berbangsa Cina dan dikenali ramai memang seorang yang panas baran. Mahu kecut hati saya dibuatnya apabila sampai sahaja di depan saya, dia terus meluahkan kemarahannya sambil menyebut tentang makmal saya.

Mulanya saya tidak faham apa yang dimarahkannya, mungkin kerana percakapannya yang sedikit laju ketika marah. Rupa-rupanya dia sedang melepaskan kemarahannya kepada seorang pengurus lain yang menyentuh satu isu mengenai makmal saya. Lega terus hati saya, ingatkan bos saya ni hendak marahkan saya. 

Dua kali ganda leganya bila melihat bos saya ini mempertahankan saya dan jabatan saya atas isu yang ditimbulkan oleh pengurus itu.

Begitulah juga dengan bos-bos saya yang seterusnya, iaitu bos saya yang kedua dan ketiga. Mereka mempertahankan saya jika itu bukan kesalahan saya dan jabatan saya. Namun jika ia betul adalah kesalahan saya dan jabatan saya, mereka  menegur dengan cara yang berhemah dan sentiasa memberi tunjuk ajar kepada saya. Saya seakan mempunyai kubu yang sangat kuat apabila di bawah jagaan mereka.

Hal yang sama juga saya praktikkan untuk staf saya.

Memang benar ada sahaja komen dan aduan dari jabatan lain, namun saya juga mengambil pendekatan untuk mendengar juga dari pihak staf saya. Jika benar ia adalah kesalahan dari staf saya, saya cuba selesaikan sebaik mungkin dengan jabatan tersebut. Mungkin saya pun dapat belajar daripada kesilapan staf saya itu dan menambahbaik apa yang perlu di dalam pengurusan saya untuk mengelakkan kesilapan berulang pada masa hadapan.

Pada saya, menjadi kubu kuat bagi staf adalah sesuatu yang perlu. Staf tiada siapa lagi yang hendak diharapkan selain daripada bosnya. Jika bosnya pun sudah mereka tidak boleh harapkan lagi, kepada siapakah yang harus diharapkan untuk pendapat mereka didengari. 

Sebenarnya memang banyak juga kes yang anda boleh jumpa di mana staf dan bos tidak sependapat dan bos tidak mempertahankan staf  apabila melibatkan jabatan lain. Memang kecewa apabila bos kita sendiri tidak mempertahankan diri kita. 

Namun tidaklah menjadi kubu secara membabi-buta, saya percaya anda juga tahu di mana hadnya. Cukuplah di mana ia menampakkan anda adalah seorang eksekutif yang dipercayai oleh staf, dan di masa yang sama anda juga meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada staf anda. 

2.9 Sesi 'Ramah Mesra'

Memang tidak dinafikan, staf bermasalah memang memenatkan anda. Sudahlah anda perlu membuat kerja hakiki anda, perlu menyelia staf yang lain juga. Kini ditambah pula dengan satu tugas perlu menangani staf yang bermasalah.

Namun hendak buat bagaimana lagi, itulah antara tanggungjawab seorang eksekutif atau seseorang yang mempunyai staf. Hendak tak hendak, anda perlu mencari ruang untuk mengatasinya.

Jika pelbagai cara sudah dibuat, nampaknya anda perlu juga membuka ruang untuk sesi kaunseling secara berdepan, antara seorang ketua dengan seorang staf. Kaji sedikit personalitinya dan dari situ anda suaipadankan situasi yang sesuai untuk digunakan semasa sesi 'ramah mesra' ini.

Memang ia antara pilihan terakhir yang perlu dibuat jika masalah masih lagi berterusan. Namun ia juga mungkin jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah yang anda hadapi.

Thursday 8 November 2018

3.8 Menyuruh Tanpa Kelihatan Disuruh

Manusia tidak suka disuruh, juga tidak suka diperintah.

Cuba perhatikan dua ayat ini.

"Ali, pergi ke stor sekarang! Ambil plastik sampah untuk makmal!"

Agak-agak staf anda yang bernama Ali ni akan bangun untuk pergi ke stor dengan bersemangat atau dengan perasaan yang sangat malas?

Atau anda boleh mencuba ayat ini.

"Ali, makmal nak guna plastik sampah sekarang, boleh pergi minta di stor?"

Dari kedua-dua ayat ini, kelihatan jelas bahawa ayat kedua itu lebih sopan bunyinya, lebih lembut tutur katanya. Bila membacanya pun terasa intonasi suara yang dilontarkan pun lebih rendah berbanding ayat pertama.

Penggunaan ayat memang penting dalam memberikan arahan, memang sangat penting selain daripada intonasi suara anda.

Saya mula menyedari dan mempelajarinya apabila membaca buku tulisan Dale Carnegie, Bagaimana Hendak Mendapat Kawan Dan Mempengaruhi Seseorang. Di dalamnya ada satu bab yang bertajuk 'Tiada Orang Yang Suka Diperintah'. Bab ini memang sangat bermanfaat bagi anda seorang eksekutif yang mempunyai staf.

Iya, ia bukan mudah untuk menukar perkataan-perkataan yang telah biasa anda gunakan setiap hari namun ia ternyata sangat berbaloi kerana ia boleh digunakan juga dalam kehidupan seharian anda.

Perlu saya ingatkan juga ia memang mengambil masa untuk melihat kesannya, jadi bersabarlah dan teruskan mencuba.

Cuba dan teruskan mencuba. Saya memang sangat sarankan anda mencubanya kerana hasilnya memang sangat berbaloi.

4.8 Jaga Hubungan Dengan Pencipta

Seperti yang saya telah katakan sebelum ini, kerja itu adalah ibadah, ibadah kita kepada Pencipta kita, Allah Taala
.
Dengan bermulanya niat untuk mencari rezeki yang halal untuk diri sendiri, untuk keluarga, ianya menjadi satu rutin yang mendekatkan diri kita kepadaNya.

Ibadah wajib setiap hari iaitu solat 5 waktu jangan dilupa.

Bukanlah mahu berceramah agama atau apa, tetapi hubungan dengan Pencipta itu hendaklah sentiasa dijaga. Apa pun jenis ibadah yang disyariatkan kepada kita, bersama-samalah kita cuba memenuhinya.

Ia juga adalah motivasi kepada diri sendiri juga untuk bekerja dengan lebih kuat dan sentiasa bekerja dalam keadaan mencari berkat dan redha Pencipta kita. Ia membuatkan kita bekerja dengan jujur, amanah dan tidak mencuri tulang semasa bekerja.

Penuhi keperluan rohani dan motivasi diri anda dengan sentiasa menjaga hubungan dengan Pencipta.

1.4 Ketegasan Seorang Eksekutif

Seorang eksekutif perlu tegas, tegas dalam memberi arahan dan tegas dalam memastikan staf anda melaksanakan arahan yang diberi.

Tegas tidak semestinya perlu meninggikan suara, tidak semestinya perlu menaikkan intonasi suara anda.

Hanya perlu menyatakan bahawa sesuatu arahan anda itu penting untuk dipatuhi.

Seorang eksekutif perlu bersikap matang dalam perkara ini. Tidak guna menjadi garang tetapi arahan tidak dipatuhi oleh staf.

Respect has to be earned, and definitely not by yelling.

Wednesday 7 November 2018

5.9 Faktor Luaran

Salah satu faktor untuk anda bekerja dengan gembira setiap hari antaranya adalah faktor luaran, iaitu perkara-perkara yang berkaitan dengan kehidupan anda yang di luar hal pekerjaan anda.

Contohnya mengenai keluarga, rakan serumah, bakal pasangan, pasangan, anak dan sebagainya. Boleh kata perkara atau masalah peribadi anda. 

Iya, anda tidak boleh mengelak dari masalah-masalah ini, tetapi anda boleh cuba untuk mengurangkan impaknya kepada kerja anda.

Jaga hubungan dengan Allah InsyaAllah supaya masalah-masalah ini tidak membebankan anda sehingga anda tidak ada keinginan untuk bekerja.

Tidak dinafikan bahawa faktor-faktor sebegini sememangnya bakal mengganggu kerja anda jika tidak dikawal dengan baik. Dapatkan bantuan segera jika anda merasakan anda mengalami depresi dan berbincang dengan bos jika anda memerlukan cuti yang panjang untuk menyelesaikan perkara berkaitan faktor luaran ini.

Bila hidup gembira, hendak bekerja pun terasa gembira.

2.8 Masalah Dengan Staf Perempuan

Kita sudah membincangkan mengenai masalah dengan staf lelaki. Kini marilah kita membincangkan pula masalah yang mungkin anda akan hadapi dengan staf perempuan.

Staf perempuan, atau mana-mana perempuan, biasanya anda kena menjaga sedikit kata-kata yang harus dikeluarkan untuk menegur mereka. Jika tersentap hatinya, mungkin bertahun-tahunlah perang dingin berlaku.

Jangan sangka bahawa staf perempuan yang bermasalah tidak seteruk dengan staf lelaki, adakalanya lebih teruk lagi.

Maafkan saya jika kenyataan ini mungkin mengguris hati sesetengah pihak, namun saya ingin memberi amaran awal kepada yang tidak pernah mempunyai staf perempuan.

Apa-apa pun kekalkan tahap profesional anda walaupun staf perempuan anda itu tidak suka dengan pengurusan anda dalam diam. Mereka mungkin tidak berani untuk meluahkan jadi anda perlu pandai membaca gerak tubuh mereka, mimik muka mereka dan sebagainya.

Nasihat saya, gunakan saluran yang sepatutnya untuk menangani mereka. Ikut sahaja peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Sumber Manusia untuk menangani staf bermasalah. Tidak perlu anda bermasam muka atau melakukan perkara yang tidak sepatutnya untuk membalas kembali apa yang dilakukan kepada anda.

Be professional when dealing with a girl.

1.7 Tidak Rugi Merendah Diri

Bagi eksekutif yang baru sahaja bekerja atau yang baru dipindahkan ke sesebuah jabatan, semestinya tidak biasa lagi dengan persekitaran yang baru. Anda juga akan mendapat staf yang baru di mana ada yang lebih berpengalaman dari anda walaupun mereka mempunyai pendidikan yang lebih rendah dari anda.

Saya ingin mengingatkan di sini bahawa tidak memandang enteng akan pengalaman mereka, kerana tidak semua yang anda pelajari di kolej atau universiti itu seratus peratus sama dengan situasi di lapangan.

Biasakan merendah diri walaupun dengan staf, kerana jika tiada staf siapalah anda.

Jika tiada staf tiadalah jabatan anda. 

Jika tiada staf yang berpengalaman yang membantu anda, yang memberi tunjuk ajar kepada anda, yang mengurangkan pening kepala anda, mungkin lebih sukar dan lebih lama untuk anda mencapai apa yang anda rancangkan untuk jabatan anda.

3.7 Kawasan Ini Kita Yang Punya

Wah, dah macam filem gangster pula bila membaca tajuk ini, terus sahaja teringat kepada filem Gangster arahan Syamsul Yusof.

Tetapi ini bukan kisah gangster ya, tetapi kisah kawasan di tempat kerja anda, kawasan kerja staf anda.

Pastikan anda memberi sedikit kebebasan kepada staf anda untuk mempunyai sedikit rasa kepunyaan kepada kawasan tempat kerja mereka. Jika di kawasan pejabat dan staf mempunyai meja sendiri, berilah kebebasan untuk mereka meletakkan barang peribadi mereka. Itu sudah biasa dipraktikkan. 

Namun anda boleh luaskan lagi skop kawasan kepunyaan itu. Berikan juga mereka rasa kepunyaan di tempat-tempat lain seperti di papan notis, di bilik rehat, di bilik mesyuarat dan banyak lagi ruang awam selagi tidak melebihi hadnya. 

Contohnya berilah mereka peluang untuk menyusunatur perabut di ruang rehat, meletakkan bunga kegemaran mereka di meja kopi di ruang legar pejabat, meletakkan besi magnet hiasan pada peti sejuk di bilik khas untuk makan dan minum, dan pelbagai lagi.

Pengalaman saya dahulu, saya memberi peluang kepada staf saya untuk menyusunatur peralatan dan mesin di makmal tempat mereka bekerja. Tidak semuanya kerana ada juga peralatan dan mesin yang tidak boleh diubah kedudukannya kerana sebab-sebab yang tertentu.

Kadangkala bagaikan satu kejutan apabila melangkah masuk ke dalam makmal saya. Tiba-tiba sahaja kedudukan oven sudah berubah, tiba-tiba sahaja ada carta organisasi yang baru dibuat oleh mereka, tiba-tiba sahaja ada mural di dinding makmal dan bermacam lagi kejutan. 

Saya biarkan sahaja asalkan ia dibenarkan oleh syarikat dan tidak mengganggu peralatan dan mesin yang tertentu. Iya, makmal itu sepertinya staf-staf saya yang punya, asalkan ia tidak melebihi had yang dibenarkan.

Apabila staf merasai sifat kepunyaan itu, barulah bersemangat mereka hendak bekerja setiap hari.

4.7 Korek 'Harta Karun'

Anda kenal siapa diri anda, namun anda kenalkah dengan potensi diri anda?

Sekarang ini banyak buku-buku mahupun ceramah-ceramah motivasi yang membincangkan tajuk mengenai potensi diri.

Setiap daripada anda, tidak kiralah anda ini bersifat introvert, ambivert mahupun extrovert mempunyai potensi diri masing-masing yang kadangkala anda sendiri tidak mempercayai bahawa anda mempunyai potensi tersebut.

Terutamanya kepada anda yang bersifat introvert. Banyak kali saya membaca kenyataan atau komen di media sosial yang menyatakan bahawa betapa lemahnya anda yang bersifat introvert ini di tempat kerja. Kena bergaul dengan orang, kena bercakap dalam mesyuarat, kena membuat pembentangan di depan orang ramai, dan banyak lagi aktiviti yang melibatkan kena berhubung dengan manusia.

Lalu timbullah persoalan bahawa tidak bolehkah bos dan rakan sekerja membiarkan sahaja anda yang bersifat introvert ini kerana anda tidak suka akan perkara-perkara sebegitu.

Soalannya, adakah hanya kerana anda seorang introvert, anda harus diberi layanan istimewa oleh bos dan rakan sekerja anda?

Untuk pengetahuan anda, seorang yang bersifat introvert pun boleh bergaul mesra dengan orang, boleh bercakap lantang di dalam mesyuarat dan boleh membuat pembentangan hebat di depan orang ramai jika kena pada caranya.

Seperti saya pula, saya dahulunya seorang yang pendiam di sekolah namun di tempat kerjalah saya mengorek potensi diri saya. Saya serlahkannya apabila peluang demi peluang diberi oleh bos dan rakan sekerja saya. Lagipun sehingga bila saya ingin terus menjadi seorang yang pendiam dan melepaskan banyak peluang yang datang kepada diri saya.

Tidak perlu takut untuk membuka ruang untuk diri sendiri. Mungkin ada potensi yang sangat bernilai bak berlian yang selama ini tersimpan erat di dalam diri anda. Koreklah ia dan keluarkanlah ia, nescaya anda tidak akan menyesalinya. 

4.6 Hargai Diri Sendiri

Hargai diri sendiri, iya, selalu kita dengar kan?

Hargai diri sendiri atau biasa orang cakap, reward yourself. Setelah berpenat lelah bekerja, maka anda pun membelilah sesuatu untuk menggembirakan diri anda, ataupun boleh kata 'membayar' kembali penat lelah anda itu.

Pada saya, menghargai diri sendiri tidak semestinya anda harus mengeluarkan wang gaji anda untuk melakukannya. Tidak semestinya anda harus membeli sesuatu untuk membalas penat lelah anda bekerja itu.

Anda juga boleh melakukan aktiviti yang memberi manfaat kepada orang lain.

Contohnya melawat ke rumah orang tua atau rumah anak yatim pada hari anda tidak bekerja, atau menyertai mana-mana badan sukarela untuk membuat kerja-kerja amal.

Mulakan dengan orang yang terdekat dengan anda pun boleh. Mungkin anda melihat jiran anda adalah seorang nenek yang hidup keseorangan, anda boleh melawatnya di masa lapang anda, bercerita-cerita dengannya. Biasalah orang tua ni, kadang hidupnya terasa sunyi apabila berjauhan dengan anak-anak.

Seperti saya pula, saya mengajar tuisyen untuk pelajar sekolah rendah pada sebelah malam hari bekerja. Bukanlah setiap malam tetapi pada malam-malam tertentu sahaja.

Ketika itu saya mengenakan kadar yang sangat rendah, orang kata harga yang sangat tidak berbaloi dengan kos dan tenaga yang saya keluarkan. Namun kerana ketika itu saya memang mencari aktiviti untuk diri sendiri untuk malam hari bekerja. Terasa hari-hari kurang bermakna apabila setiap hari bekerja hanya dihabiskan dengan pergi ke kerja dan balik dari kerja sahaja.

Sekadar pemberitahuan, semasa saya bekerja dahulu saya tinggal di rumah sewa berkongsi dengan rakan sekerja yang lain. Jika duduk dengan keluarga itu, biasanya kita menghabiskan masa dengan keluarga dan tidaklah terasa bosan sangat.

Lalu saya bertanya kepada rakan-rakan sekerja saya yang tinggal di kawasan berdekatan jika ada ibu bapa di kawasan itu yang sedang mencari cikgu tuisyen. Pada masa itu saya hanya mengambil pelajar sekolah rendah kerana tidak mahu terlalu terbeban dengan aktiviti tuisyen ini.

Hasilnya saya sangat gembira dengan rutin hidup saya. Tidaklah hidup ini terasa terlalu kosong hanya dengan bekerja sahaja.

Anda pun boleh mencubanya. Pada saya melakukan perkara yang bermanfaat kepada orang lain lebih hebat nikmatnya berbanding hanya untuk diri sendiri. Apapun ia terpulang kepada diri anda, tepuk dada tanya selera.

Tuesday 6 November 2018

2.7 Masalah Dengan Staf Lelaki

Staf lelaki yang bermasalah memang banyak puncanya namun saya akan berikan satu tips yang mungkin akan menyelesaikan banyak masalah dengan staf lelaki ini. Tips yang akan saya berikan ini lebih praktikal jika situasinya di antara bos perempuan dan staf lelaki. 

Dengan staf lelaki, arahan yang diberikan mestilah pendek dan ringkas, padat dan singkat.

Ingat ya, pendek, ringkas, padat dan singkat. 

Bos perempuan ini, biasalah, suka beri arahan yang berjela-jela. Berhenti dari sekarang, berhenti memberikan arahan yang berjela-jela kepada staf lelaki. Mereka tidak suka dan mereka tidak akan mendengarnya. Kerana itulah walaupun anda sudah memberikan arahan yang penuh dengan maklumat tapi mereka masih lagi tidak menyelesaikan arahan tersebut dengan sempurna.

Memang penat ya bagi arahan berjela-jela tetapi akhirnya mereka tak buat pun seperti yang disuruh. 

Saya mengalaminya selama bertahun-tahun, dan akhirnya saya mengambil pendekatan ini. Apabila memberi arahan kepada mereka, saya berikan arahan yang pendek sahaja, kemudian saya bertanya ok atau tidak. Apabila mereka berkata ok sebagai tanda sudah memahaminya, baru saya sambung lagi arahan saya itu. 
.
Tips ini berguna untuk semua medium, termasuklah arahan secara bertulis. Tidak perlu panjang berjela, buat penat sahaja tangan anda menulis atau menaip. Bagi arahan yang pendek sahaja, sudah, full stop.

Cuba praktikkan, anda akan nampak perubahannya. 

9.6 Medium Komunikasi

Memberi arahan kepada staf adalah sesuatu yang sangat mencabar pada saya pada permulaan saya mengambilalih jabatan saya dari senior saya.

Syif bekerja untuk jabatan saya adalah 24 jam dan saya perlu menunggu mereka yang berada di syif malam untuk masuk ke syif siang untuk memberitahu sesuatu arahan. Pening juga kepala dibuatnya kerana terpaksa memeram arahan tersebut beberapa hari sebelum dapat disampaikan kepada semua staf. 

Lalu saya menggunakan kertas memo yang ditampal di papan notis untuk memberitahu info dan arahan. Itu pun tidak menjadi juga kerana mereka selalu tidak melihat papan notis. Tidak sempat kata mereka dengan kerja yang banyak setiap hari, lagipun kedudukan papan notis itu dilihat tidak strategik. 

Hingga akhirnya saya berfikir di manakah mereka selalu melihat sesuatu perkara setiap hari. Ya, di buku laporan harian untuk penyelia, kerana untuk memindahkan papan notis itu ke tempat yang lebih strategik sepertinya tiada tempat lagi yang boleh diletak. 

Pada saya, saya seboleh-bolehnya tidak mahu memcampuradukkan buku laporan tersebut dengan arahan-arahan daripada saya kerana susah hendak merujuk semula nanti. Tapi hendak buat bagaimana, terpaksa juga.

Akhirnya memang berjaya.

Tiada lagi staf yang tertinggal arahan saya kerana mereka melihat buku itu setiap hari. Tambahan pula selepas mereka membacanya, mereka mesti menurunkan tandatangan di situ menyatakan bahawa sudah membaca dan memahaminya. Jika ada apa-apa persoalan boleh juga ditulis di situ.

Cuba pelbagai medium untuk berkomunikasi dengan staf sehingga berjaya. Mungkin di tempat kerja anda ada sistem komunikasi dalaman yang boleh digunakan.

Saya tidak menggalakkan komunikasi seperti aplikasi What's App dan seangkatan dengannya untuk memberi arahan. Ia kelihatan kurang formal dan rekod perbualan di aplikasi itu jarang disimpan di dalam bentuk kertas. Rekod adalah penting. Dalam proses audit kualiti untuk pengurusan, rekod adalah sangat penting. Ini berdasarkan pengalaman saya selama 5 tahun menjadi auditor kualiti pengurusan.

Bagi pemilik bisnes pula, walaupun anda mungkin tidak berhasrat untuk mempunyai sijil kualiti dalam pengurusan seperti sijil ISO dan sebagainya tetapi anda boleh mempraktikkan caranya. Pada permulaannya memang agak payah kerana melibatkan banyak dokumentasi namun apabila sudah siap dan sentiasa mempraktikkannya, pengurusan syarikat akan menjadi jauh lebih mudah.

InsyaAllah jika saya mempunyai syarikat sendiri, saya memang akan membangunkan sistem ISO dalam pengurusan untuk syarikat saya walaupun tidak berhasrat untuk mendapatkan sijil tersebut dan semestinya medium komunikasi adalah salah satu perkara terpenting dalam pengurusan staf ini.

Pelbagai masalah terutamanya masalah dengan staf akan timbul jika cara arahan dan komunikasi yang digunakan tidak berkesan.

1.8 Jeling-Jeling, Pandang-Pandang

Mengurus staf adalah satu proses pembelajaran yang berterusan, dan pembelajaran tidak semestinya daripada buku sahaja. Ia juga boleh diadaptasi daripada pengalaman orang lain.

Anda cubalah jeling-jeling dan pandang-pandang mana-mana eksekutif lain di tempat kerja anda yang mempunyai reputasi yang baik dan belajar daripadanya. Tidak semestinya dari jabatan anda sendiri, mungkin dari jabatan-jabatan lain.

Lihat bagaimana staf mereka boleh gembira bekerja dengan mereka dan perhatikan cara mereka meneguruskan staf mereka. Cara mereka memberi arahan, memberi tunjuk ajar pada staf, menghadapi staf yang bermasalah dan sebagainya.

Bagi pemilik bisnes pula, anda perlu mencari kesempatan berjumpa dengan mereka yang telah berjaya menguruskan staf dengan baik. Pasti anda mempunyai rakan rangkaian bisnes yang anda boleh melawat pejabatnya dan melihat bagaimana cara staf mereka bekerja, sistemnya dan cara rakan anda itu menguruskan staf mereka. 

Anda juga boleh bertanya kepada rakan-rakan anda yang bekerja di sesebuah syarikat bagaimana mereka dan syarikat mereka menguruskan staf. 

Belajar dan terus belajar melalui pemerhatian dan praktikal eksekutif lain. Ia salah satu cara untuk anda dapat menguruskan staf gaya eksekutif dengan lebih baik.

Monday 5 November 2018

3.6 Apa Pendapat Anda Wahai Staf

Anda selalu tak mendengar tips mengenai pengurusan tentang meminta pendapat orang bawahan? 

Meminta pendapat dan pandangan mereka tentang sesuatu perkara supaya anda sebagai ketua dilihat sebagai seorang yang mementingkan pendapat orang bawahan sebelum membuat sesuatu keputusan. 

Iya, itu tidak salah, cuma dalam budaya kita di Malaysia ini, apabila seseorang mengeluarkan pendapat atau idea kebiasaannya orang itulah yang ditugaskan untuk melaksanakan idea tersebut. Sedangkan dia hanya ingin memberikan idea yang mungkin boleh digunapakai oleh orang lain. Betul kan?

Maafkan saya jika salah, namun itu yang saya perhatikan selama saya membesar di Malaysia ini. Tidak kira di sekolah mahupun di tempat kerja.

Jadi tercetuslah tetapan minda pada fikiran staf seperti 'tak naklah saya memberi pendapat atau idea, nanti saya pula yang kena buat.'

Sebenarnya anda boleh meminta staf anda memberikan pendapat dalam bentuk yang mereka tidak sedar. Perkataan 'pendapat' atau 'idea' itu tidak perlu disebut semasa bertanya, tukarkan kepada ayat atau bentuk soalan yang lebih pelbagai. Contoh seperti ayat soalan yang mempunyai pilihan.

Ataupun anda memberikan idea dahulu kemudian anda lihat kepada respon staf. Dari situ berikan ruang lagi untuk soaljawab berterusan sehingga mencapai satu keputusan bersama.

Ataupun sesiapa yang mengeluarkan idea atau pendapat, anda tidak perlulah melantiknya untuk mengetuai perlaksanaan idea itu. Biarkan idea itu dilaksanakan oleh semua staf dan anda boleh melantik orang lain untuk mengetuainya.  

Pengalaman saya pula, saya selalu memberikan ruang kepada staf saya untuk memberi idea dan membuat keputusan kerana saya melihat mereka yang akan melaksanakan kerja tersebut. Jadi saya selalu berkata bahawa kerja ini akhirnya akan dibuat oleh anda semua wahai staf, jadi bagaimana cara terbaik dan mudah bagi mereka untuk melaksanakannya tanpa mengurangkan kualiti kerja tersebut. Kebiasaanya staf saya memang akan memberi pendapat dan idea mereka, kerana mereka memikirkan mereka yang hendak membuat kerja tersebut. Tetapi tidak semua arahan atau kerja perlu diminta pendapat mereka.


Saya biasa memberikan ayat bahawa mereka yang akan membuat kerja ini, jadi mereka yang kena beri keputusan.
Boleh cuba yang mana satu anda berkenan.


5.7 Berkongsi Rezeki Merapatkan Hubungan

Pernah tak keliru dengan persoalan ini, nak belanja staf atau tidak, keliru kerana nanti dikatakan anda nak bodek staf pula.

Pada saya tiada istilah bodek, ia lebih kepada mengambil hati staf. 

Pada saya konsepnya sama juga dengan hendak mengambil hati bakal pasangan hidup, hendak mengambil hati bakal keluarga mertua, pasti anda ada belanjakan sesuatu untuk mereka, tidak kiralah anda perempuan mahupun lelaki. Mesti idea untuk belanja makan ataupun belanja barangan fizikal terdetik di hati apabila anda hendak mengambil hati seseorang itu.

Pada saya tak salah pun nak belanja staf sekali-sekala. Apa salahnya berkongsi rezeki dengan orang terdekat anda, orang-orang yang setiap hari bekerja dengan anda, membantu anda, memudahkan kerja anda.

Jadi tiada perkataan bodek ya.

Berkongsilah rezeki untuk merapatkan hubungan anda dan staf anda. Anggaplah anda semua adalah satu keluarga, satu keluarga yang sama-sama bekerja setiap hari demi mencari sesuap nasi untuk diri sendiri dan keluarga sendiri di rumah.

5.5 Bersyairlah Ketika Marah

Saya bos perempuan. Orang kata bos perempuan ni suka membebel.

Tetapi sebenarnya kami sedang bersyair, bersyair ketika sedang marah.

Maaf, saya bergurau sahaja.

Membebel sebenarnya satu tindakan untuk meluahkan perasaan yang terbuku di dalam hati ini. Pada saya, membebellah selagi kena dengan hadnya. Kalau dah tak tahan sangat marah tu, membebellah.

Staf ni pun kalau kita membebel mereka mendengar bagai angin yang lalu sahaja, terutamanya staf lelaki.

Jika staf perempuan kena berhati-hati lebih sedikitlah, harap tidak dikeluarkan kata-kata yang menghiris hati sehingga menyebabkan perang dingin selama bertahun-tahun.

Pada saya membebel adalah satu terapi. Tidak semestinya kena membebel pada staf, membebellah pada rakan sekerja atau pada bos, atau pada rakan di luar kerja anda, rakan lama kah, bff kah. Maksud saya di sini berkongsikan perasaan anda, kemarahan anda dengan mereka.

Jika anda tidak suka membebel tidak mengapa, anda lakukanlah aktiviti yang anda rasa ia boleh melegakan hati anda. Ini penting, supaya anda berasa lega dan segar. Hendak bekerja pun terasa seronok.

Lagi satu, jangan ingat bos perempuan sahaja ya yang membebel, bos lelaki pun ada yang membebel. Cuma alunan syairnya mungkin berbeza sedikit. 

4.5 Bukan Salah Aku

"Kenapa bukan salah aku tapi aku yang kena marah?"

"Staf aku ni tak fikir ke bila dia buat benda tu dia akan menyusahkan orang lain!"

"Bilalah staf aku ni nak ubah perangai, pening rasa!"

"Staf aku ni, dia tak ada rasa nak memperbaiki diri ke, asyik di takuk lama je."

Iya, bukan salah anda, semuanya bukan salah anda. Namun staf anda adalah di bawah tanggungjawab anda. Jadi apa pun yang mereka buat, ingat ya, anda yang kena menanggungnya.

Ayat yang biasa kita dengar, Allah tidak akan mengubah nasib seseorang itu selagi seseorang itu tidak mengubah nasibnya. Jadi sebenarnya ia bukan di bawah kawalan anda.

Kurangkan memikir perihal perangai peribadi staf kerana ia bukan di bawah kawalan anda. Kurangkan usaha anda untuk mengubah perangai staf kerana ia bukan di bawah kawalan anda. Iya, anda boleh berusaha tetapi tidak perlulah hingga membuatkan diri anda sendiri rasa stres dengan perangai mereka. 

Apa yang patut anda fikirkan adalah apa yang di bawah kawalan anda iaitu sikap anda sendiri.
Bagaimana sikap anda apabila berhadapan dengan staf dan bagaimana ia boleh mempengaruhi staf untuk mengubah perangainya melalui sikap yang ditunjukkan oleh anda. 

Fikir fikirkan. 

4.4 Membaca Jambatan Ilmu

Saya mula rajin mencari dan membaca buku berbentuk motivasi semasa sudah bekerja. Sebelum itu semasa di sekolah mahupun di universiti, memang bukan buku motivasi yang menjadi pilihan. Biasalah, sedang remaja dan sedang memasuki alam kedewasaan. 

Antara sebabnya adalah kerana saya sedar bahawa saya mempunyai kekurangan dalam menghadapi orang. Saya tidak yakin apabila bercakap dengan orang lain dan saya merasakan saya perlu memperbaiki diri saya. Ini kerana semasa bekerja, saya merasakan bercakap dengan betul itu adalah satu kewajipan. Bercakap dan berkata-kata dengan gaya bahasa yang betul. 

Juga kerana saya merasakan adalah satu keperluan untuk mencari cara untuk menguruskan staf dan juga berhadapan dengan bos dan pihak atasan. Menguruskan staf juga membuatkan anda perlu bercakap dan berkata-kata dengan ayat yang betul. 

Memang satu cabaran ya apabila menguruskan staf. Dari situ saya merasakan ternyata ianya menjadi satu keperluan, bukan lagi kehendak, untuk menimba ilmu daripada buku-buku berkaitan motivasi diri dan pengurusan staf.

Antara buku kegemaran saya adalah Bagaimana Hendak Mendapat Kawan Dan Mempengaruhi Seseorang oleh Dale Carnegie. Buku ini asalnya dalam bahasa Inggeris, namun diterjemahkan ke pelbagai bahasa termasuklah bahasa Malaysia.

Anda pun harus begitu. Gali, timba, semat, dan serlahkan ilmu-ilmu yang dipelajari daripada buku-buku tersebut.

Cari buku kegemaran anda, timba ilmu daripadanya dan aplikasikan di dalam kehidupan anda. Tidak rugi untuk melabur duit gaji anda kepada buku-buku seperti ini kerana ia bukan sahaja berguna dalam bidang pekerjaan sahaja, tetapi juga dalam kehidupan seharian anda.

2.5 Staf 'Missing In Action'

'Missing in action', atau hilang entah ke mana.

Staf begini memang ada, tak tahu dia pergi ke mana. Bila dihubungi tak dapat, tanya staf lain pun mereka tak tahu.

Kes begini pada saya memang kena berkonfrontasi dengan staf tersebut. Selepas dia muncul di pejabatlah. Pada masa itu juga tanya dia ke mana, kenapa menghilang lama sangat. Tidak perlulah marah-marah dahulu, mungkin dia ada hal kecemasan dan tak sempat beritahu anda.

Tetapi bagi kes yang kritikal amaran perlu diberikan. Tidak kiralah amaran secara lisan atau bertulis, bergantung kepada anda. Kritikal di sini contohnya dalam kes kilang, operasi boleh terhenti dengan ketiadaan staf tersebut. Anda boleh mendefinisikan tahap kritikal itu mengikut situasi di tempat kerja anda sendiri.

Bagaimana jika kes yang berkali-kali staf anda hilang?

Yang ini anda kena buat kerja lebih sedikit, kena jadi James Bond sekejap. 

Anda risiklah di mana staf anda itu selalu berada. Di kantinkah, di lobikah, atau di rumahnya. 

Saya mempunyai seorang staf ini, hmm, selalu hilang entah ke mana. Banyak kali jugalah aduan dari jabatan lain saya terima bahawa apabila mereka menghubungi telefon di makmal tiada orang yang mengangkatnya. 

Bagusnya staf saya ini semua kerja yang sepatutnya diselesaikan sudah dia selesaikan dahulu sebelum pergi melepak. Cuma rasa tak seronoklah bila tiada orang di makmal, takut jika ada apa-apa berlaku ataupun bos saya datang ke sana secara tiba-tiba dan melihat tiada staf di makmal. 

Setelah merisik-risik, akhirnya tahu juga saya di mana dia selalu melepak. 

Apa yang saya buat, setiap kali dia melepak di sana, saya hubungi penyelia di sana dan suruh staf saya tu kembali ke makmal. Saya tak bercakap pun dengan staf saya itu, tapi saya menyuruh penyelia di situ yang sampaikan pesanan saya. 

Guna orang ketiga. Jika staf anda tu suka lepak di kantin, suruhlah makcik pakcik kantin di situ beritahu staf anda untuk balik ke tempat kerja. Memang, perkara ini mungkin sedikit memalukan staf anda itu, namun nak buat macam mana, degil sangat nak bekerja, asyik melepak sahaja.

Ini antara cara saya, anda boleh tiru atau tiruvasi. Bergantung kepada keupayaan dan timbangtara anda.

Sunday 4 November 2018

3.5 Lemau Si Veteran

Staf veteran, hmm, menarik juga topik ni ya?

Staf veteran ni, masih semangat lagi ke nak kerja? Atau sekadar kerja sebab terpaksa?

Hendak tukar kerja majikan mana lah lagi nak ambil, nak tak nak terpaksalah juga teruskan bekerja walaupun setiap hari rasa beratnya kaki nak melangkah ke tempat kerja.

Saya pernah mempunyai staf yang agak veteran ini. Bukan Melayu, diberhentikan kerja oleh syarikat lamanya kerana mereka menutup makmal yang telah lama beliau bekerja. Hendak buat macam mana, memang terpaksa berhentilah.

Dengan staf veteran ni, kita kena faham dia seorang veteran. Contohnya dari segi kesihatan seperti kaki mudah sakit jika berjalan jauh, kadang kasihan juga melihatnya.

Namun jangan putus ada dengan staf veteran ni. Ada masa memang kena ikut rentaknya, ada masa kena masukkan juga rentak orang muda ke dalam rentaknya. Anggap sahaja mereka sama sahaja dengan staf lain yang muda cuma hormatnya kena lebih sedikit.

Hormat mereka seperti kita hormat orang tua lain di luar waktu bekerja. Pada saya asalkan mereka menurut arahan tak perlulah sangat nak tunjuk sangat yang anda ni bos mereka. Tak puashati sikit-sikit tu mungkinlah ada, tak mengapa, layan sahaja.

Dengar cerita mereka tentang anak-anak mereka, tentang cucu-cucu mereka. Hendak beri arahan kepada mereka pun kena berlapiklah sedikit. Mereka datang dari zaman dan generasi yang berbeza,  jadi kena hormat kegenerasian mereka itu.

Tak mengapalah kita orang muda beralah sedikit, namun teguran perlu diberi juga jika mereka melakukan kesilapan berulang. Jika kesalahan yang kecil-kecil itu, yang tak menjejaskan sangat operasi, pejam-pejamkanlah mata seperti tak pernah nampak.

Pada saya dengan orang tua ni cara kita bercakap dengan mereka penting, kena ambil hati mereka selalu. Mungkin semasa sembang santai dengan staf veteran ini anda boleh minta tips-tips rumahtangga, tips-tips awet muda, tips-tips jaga anak dan pelbagai tips lagi. Biasalah orang tua ni, mereka suka jika orang muda meminta pendapat mereka sebagai orang tua.

Mungkin boleh banyakkan juga perkataan 'tolong' dan 'terima kasih' apabila bercakap dengan mereka, dan juga kurangkan sedikit ego anda tu bila berinteraksi dengan mereka.

Anda cuba cara ini dahulu, ya?

1.5 Timba Ilmu Keeksekutifan

Saya suka menghadiri seminar. Seminar dan latihan.

Semasa saya bekerja, banyak sangat seminar yang dianjurkan oleh syarikat saya bekerja itu kepada semua peringkat jawatan. Untuk juruteknik ada, untuk kerani ada, untuk pembantu teknikal ada, untuk penyelia, eksekutif, pengurus. Boleh kata semua peringkat jawatan ada. 

Salah satu sebabnya kerana di Jabatan Sumber Manusia, mereka ada matlamat yang harus dicapai bagi berapa jam seminar dan latihan yang disediakan bagi setiap peringkat jawatan.

Pada saya, seminar dan latihan ini sangat membantu. Pernah sekali semasa saya berjumpa dengan bos pertama saya untuk meminta beliau mengisi borang pencalonan nama untuk saya menghadiri seminar dan latihan, dia seakan tahu bahawa saya teringin sangat hendak menghadiri satu seminar ini, 'Decision Making' tajuk seminar tersebut.

Memang pada permulaan saya bekerja saya akui saya lemah dalam perkara membuat keputusan ini. Pening kepala bagaimana mahu menanganinya. Sikap tidak berani untuk mengambil keputusan boleh menjejaskan kelancaran kerja saya seterusnya boleh mengganggu operasi kilang saya.

Terima kasih saya ucapkan kepada syarikat saya bekerja ini. Memang banyak sangat yang saya pelajari di sini terutamanya melalui seminar dan latihan yang dianjurkan.

Jika bos anda tidak menyediakan seminar dan latihan, mungkin anda boleh membincangkannya. Beranilah meminta untuk anda lebih banyak menimba ilmu supaya boleh menguruskan jabatan anda dengan lebih mudah.

4.3 Berhati-hati Dengan Pengharapan

Bagi eksekutif yang baru mempunyai staf mungkin anda akan rasa teruja untuk menjaga staf. 

Macam-macam rancangan yang bermain di kepala. 

Rancangan untuk meraikan hubungan anda dengan staf seperti meraikan hari lahir untuk staf, memberi hadiah untuk staf terbaik setiap bulan, belanja makan dan sebagainya.
Anda juga berharap yang staf anda sukakan anda, mengikut semua arahan anda dan sentiasa seronok bekerja dengan anda.

Iya, saya memahaminya. Namun harus diingat, menjaga staf ini adalah sesuatu yang tidak mudah ya. Semua itu tidak semudah yang disangka.

Anda boleh berharap, tetapi berhati-hati dengan pengharapan anda. Bukanlah untuk melemahkan semangat anda namun ingin memberi motivasi kepada anda bahawa ia tidak mudah dan anda harus sentiasa berusaha untuk mencapai matlamat anda tersebut.

1.9 Kata-Kata Seorang Eksekutif

Memang selalu kita mendengar bahawa apa yang keluar dari mulut seseorang mencerminkan keperibadiannya. Tidak terkecuali juga dalam hal ini.

Mengurus staf memerlukan anda menguruskan juga kata-kata anda. Janganlah anda fikir bahawa mereka adalah orang bawahan anda jadi anda boleh mengeluarkan kata-kata mengenai mereka sesuka hati anda. Di hadapan mereka mahupun di belakang mereka.

Tunjukkan keprofesionalan anda dalam menguruskan staf melalui kata-kata. Banyakkan membaca buku-buku dan mendengar perkongsian mengenai komunikasi yang berkesan.

Ingat, komunikasi berkesan ini bukan hanya dengan berkata-kata. Pada saya berdiam juga adalah satu bentuk komunikasi yang berkesan.

Berkata-kata ini memang memerlukan latihan, terutamanya apabila berkata-kata semasa sedang marah, semasa memberi arahan dan juga semasa memberi pujian.

Sejujurnya ia perlu disusun dengan elok bagi menghasilkan impak yang tinggi.

Berkata-kata sebagai seorang eksekutif biarlah profesional, biarlah beradab, biarlah bukan seperti burung kakak tua, bercakap banyak tetapi isi pun tiada. 

2.4 Staf Kuat Melawan

Di dalam ebuku saya ini, saya ada nyatakan mengenai personaliti si 'dia'. 

Siapakah si 'dia' ini?

Si 'dia' yang saya maksudkan di sini adalah bos anda, rakan sekerja anda, staf anda dan orang-orang bekerja rapat dengan anda setiap hari.

Pentingnya mengetahui personaliti si 'dia' adalah kerana memudahkan anda menghadapi pelbagai situasi dan salah satunya adalah situasi yang sebegini, iaitu staf yang kuat melawan, yang kuat membangkang. 

Tidak dinafikan dalam hidup kita ini memang akan berjumpa dengan individu yang tidak selari dengan sikap kita. Orang kata apa, tak 'ngam'. Tidaklah membenci individu tersebut tetapi memang sukar untuk bersatu pendapat. Sukar untuk berkomunikasi dan tidak tahulah mengapa asyik nak bergaduh sahaja apabila berjumpa. Satu cabaran bagi anda seorang eksekutif apabila individu tersebut adalah staf anda.

Kadangkala habis masa dan tenaga melayan karenah dia seorang sahaja.

Cadangan saya, gunakan orang perantara, bukan sahaja untuk memberi arahan tetapi untuk mempengaruhi. Sikap individu sebegini memang perlukan personaliti yang sesuai dengannya untuk dia mendengar arahan dari seseorang.

Pengalaman saya pula, saya seakan ada juga staf yang sebegitu. Tetapi tidaklah setiap masa dia membangkang kata-kata saya, ada ketikanya. Biasanya saya hanya memekakkan telinga dan tabahkan hati, namun ada ketikanya saya terpaksa menggunakan bos saya untuk memberi arahan kepadanya.

Orang perantara tidak semestinya seorang dan tidak semestinya orang atasan kita. Contohnya untuk mempengaruhi itu, anda boleh gunakan staf anda yang lain atau rakan sekerja yang lain dan apa yang saya boleh katakan, ia memerlukan masa.

Seperti kes saya di atas, kebetulan bos saya ketika itu merupakan seorang yang lembut tutur katanya dan dihormati seluruh staf di situ. Seorang ekspatriat dari Indonesia yang mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang industri kilang kami. Sangat sukar untuk hendak melihat bos saya itu marah dan meninggikan suara. Memang kami semua sangat selesa berada di bawah jagaannya.

Tetapi apa-apa pun berpada-padalah. 

Tidak semestinya perlu menjadikan bos kita sebagai perantara. Anda perlu juga melihat kepada jenis personaliti staf anda dan bos anda itu. Dibuatnya personaliti bos anda itu pun tidak 'ngam' dengan staf anda itu, lagi parah pula dibuatnya.

Inilah antara kepentingan menganalisa personaliti seseorang.

Apa-apa pun, ia satu pilihan untuk anda mempertimbangkan cadangan ini untuk menghadapi masalah staf yang sebegini. Saya akui bukan mudah untuk menghadapi staf yang sebegini. Jika sukar juga gunakanlah saluran yang ada di dalam syarikat seperti mencadangkan sesi kaunseling dari Jabatan Sumber Manusia.

Bukan semua masalah staf kita mampu menanganinya sendiri, adakalanya memang perlukan bantuan dari luar.

Saturday 3 November 2018

1.10 Suntik Inovasi

Saya pernah membuat satu kesilapan, satu kesilapan di mana bos saya mengeluarkan kata-kata yang sehingga kini saya masih ingati.

"Sekarang u yang handle makmal ni, jadi ikut cara u."

Iya, ikut cara saya, bukan cara eksekutif yang mengetuai jabatan saya sebelum ini. Sentap, memang sentap. Saya fikirkan saya perlu kekalkan cara yang sedia ada sebab sememangnya itu yang dipraktikkan sejak dari awal makmal saya beroperasi, tetapi sebenarnya tidak.

Memang satu pengajaran bagi saya.

Tetapi tidaklah saya ubah kesemuanya. Mana yang elok boleh diteruskan. Mana yang telah ditetapkan oleh syarikat walaupun eksekutif bertukar, yang ini haruslah diteruskan. Namun apa salahnya anda memberi idea untuk penambahbaikan. Mana yang boleh dibuat dalam ruang lingkup kuasa anda bolehlah diberikan identiti anda.

Jadi mengurus staf bukan sahaja perlu bergaya eksekutif tetapi bergaya eksekutif mengikut acuan anda sendiri, selagi dibenarkan oleh syarikat.

Perkenalkan cara yang lebih baik, lebih kreatif, lebih berinovasi dan juga lebih menampilkan gaya pengurusan anda.

2.3 Staf Tidak Tahu Nak Buat Apa

Pernah tak apabila anda memasuki tempat kerja staf anda dan anda melihat mereka tidak melakukan kerja mereka?

Ada yang bermain telefon.

Ada yang sedang rancak berborak.

Mana yang pendiam tu pula, anda lihat staf anda itu sedang termenung melayan perasaan.

Geram kan? Rasa nak mengamuk macam Hantu Kak Limah. Iya, memang geram, tetapi saya lagi geram dengan anda.

Staf tidak tahu nak buat apa sebab mereka memang tidak tahu pun nak buat apa, ataupun dia keliru siapa yang harus buat sesuatu kerja itu.

Dalam kes sebegini bincang kembali skop kerja staf anda. Jika skop kerja telah dibincangkan pastikan mereka betul-betul memahami skop kerja mereka. Skop kerja perlu didokumentasikan dan ditandatangani oleh staf menandakan bahawa mereka sudah faham dan akan mematuhinya.

Bagi pemilik bisnes tidak kira bisnes anda kecil atau super kecil, janganlah memberitahu tugas/skop kerja hanya dengan mulut sahaja. Bincangkan dan tuliskan ia. Jadikan ia dokumen wajib dalam syarikat anda.

Lainlah jika anda telah melakukan semua ini namun staf anda masih melakukan kesalahan yang sama. Dalam kes ini tindakan yang lebih tegas harus diambil.

4.2 Ada Apa Dengan Imej

Di awal ebuku ini saya ada menerangkan mengenai imej, mengapa imej sebagai seorang eksekutif itu penting.

Imej yang saya nyatakan di sini bukanlah dari segi luaran, bukan mengenai mekap, bukan mengenai suaipadan baju dan sebagainya. Ia adalah mengenai ketrampilan diri anda dan bagaimana anda membawa diri anda.

Saya ingin berkongsi kisah yang saya baca di dalam buku The Complete Idiot's Guide: Managing People. Kisah bagaimana imej dan pembawaan diri seseorang itu mempengaruhi bos untuk memilih mereka untuk mewakili suatu jabatan.

Dua calon yang sedang ditimbangtara untuk dinaikkan pangkat dan sekaligus mewakili satu jabatan di peringkat atasan. Calon A yang sangat mahir dalam melaksanakan kerjanya namun dari segi pandangan orang lain, seolahnya tiada ketrampilan diri untuk mewakili jabatannya. Keduanya adalah calon B, yang pandai juga melaksanakan kerjanya namun tidak sehebat calon A, cuma calon B ini lebih pandai membawa diri apabila berada di kalangan pihak atasan.

Iya, anda bijak.

Bos kepada kedua-dua calon ini akan memilih calon B, kerana ketrampilannya dan pembawaan dirinya. Apabila sudah berada di tahap peringkat pengurusan, pandai dan mahir sahaja tidak mencukupi. Seseorang eksekutif itu perlu mempunyai aura seperti seorang ketua yang akan mewakili suatu jabatan atau kumpulan dalam sesebuah organisasi.

Secara kebetulan, memang ianya bukan setakat kisah yang ditulis di dalam buku. Ianya terjadi kepada dua orang rakan saya. Kes yang sama, jalan cerita yang sama, cuma mereka ini bekerja di syarikat yang berbeza. Kedua-duanya menjadi pilihan bos mereka untuk dinaikkan pangkat dan mewakili jabatan mereka walaupun ada senior mereka yang lebih lama bekerja dengan mereka.

Apa yang diceritakan kepada saya, senior mereka memang seorang yang pandai dan mahir dalam bidang kerjanya berbanding mereka namun aura senior mereka itu sebagai seorang eksekutif yang akan mewakili jabatan tidak terserlah. Ini diakui sendiri oleh bos mereka apabila bos mereka berbincang mengenai kenaikan pangkat ini dengan mereka.

Imej yang diolah dengan betul akan menyerlahkan aura diri anda sebagai seorang eksekutif, kerana bagaimana pihak-pihak dari jabatan lain memandang anda akan mempengaruhi bagaimana mereka memandang kehebatan jabatan anda.

3.4 Staf, Ilmu Ini Untuk Anda

Ilmu bukan sahaja untuk diri sendiri, ilmu juga perlu dikongsi dengan orang lain.

Seperti yang selalu kita dengar bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, "Sampaikanlah walau satu ayat".

Kebanyakan staf saya di peringkat penyelia dan juruteknik tidak mempunyai pendidikan yang tinggi. Majoriti daripada mereka sama ada mempunyai sijil SPM atau SRP/PMR. Apa yang saya perhatikan, mereka naik ke pangkat seterusnya melalui tiket pengalaman, sama ada di syarikat saya bekerja atau syarikat sebelumnya.

Walaupun begitu, dengan mereka saya suka bercerita, bercerita mengenai Sains dan Kimia. Saya pun tidak tahu mengapa, mungkin itu sifat saya barangkali, suka bercerita dan berkongsi ilmu. 

Kadangkala ada juga kena melukis gambarajah ion untuk memahamkan mereka.

Saya sentiasa kaitkan fakta Sains dan Kimia dengan ujian yang mereka lakukan setiap hari. Saya mahukan mereka faham dengan apa yang mereka lakukan setiap hari, bukan hanya pandai buat sahaja.

Tidaklah setiap hari saya bercerita. Adakalanya juga saya suka berteka-teki dengan mereka, dan ada masanya staf saya sendiri yang suka bertanya kepada saya.

"Kak, kenapa larutan ni bila bercampur dengan larutan ni ia bertukar jadi warna coklat?"

"Maro, kenapa larutan ni keruh bila letak bahan A tapi larutan yang ni tak pula?"

Untuk pengetahuan, bagi staf yang lebih muda daripada saya, mereka memanggil saya dengan panggilan kakak. Manakala yang lebih berumur dari saya pula, mereka memanggil saya hanya dengan nama. Panggilan ini bergantung kepada anda, masing-masing mempunyai cara sendiri. Tidak perlu mengikut cara saya.

Dengan sentiasa bercerita dan berkongsi ilmu ini saya perhatikan staf saya lebih mengambil bahagian dan lebih rasa ingin ambil tahu. Adakalanya ada ujian khas yang saya berikan kepada syif tertentu tetapi staf dari syif lain juga sibuk nak tahu. Mereka seronok untuk tahu. Mereka seronok untuk sama-sama terlibat.

Saya teringat satu ketika ada staf saya yang seronok bercerita mengenai larutan kimia fenolftalin yang digunakan dalam drama bersiri antarabangsa CSI. Saya nampak ia sesuatu yang mengujakan baginya kerana pernah menggunakannya.

Tidak salah berkongsi ilmu dengan staf kita. Beri mereka rasa seronok dan mengujakan untuk terus mengambil tahu tentang kerja mereka. Perasaan teruja membuatkan mereka terdorong untuk melakukan yang lebih baik.

3.3 Sampaikan Pujian Pihak Atasan

Eksekutif biasanya memang akan ada bos di atasnya. Bagi pemilik bisnes pula, mungkin andalah sahaja bos di syarikat anda. 

Bos-bos ini, walaupun tidak berhubung secara terus dengan staf anda namun mereka memerhati. Adakalanya terus sahaja masuk ke tempat kerja staf anda dan hanya memerhati. Ada yang bertegur sapa dengan staf anda, ada juga yang hanya senyap tidak bertegur sapa. Macam-macam gaya.

Selepas memerhati, mungkin ada teguran atau pujian yang ingin diberikan kepada staf anda. Jika ada baguslah, jika tiada, anda boleh bertanya kepada bos anda. ia mungkin memberikan informasi yang boleh digunakan untuk penambahbaikan.

Teguran dan pujian daripada bos anda, anda ambillah secara positif, termasuklah teguran dan pujian tentang staf anda.

Namun seringkali hanya teguran dan kemarahan bos sahaja yang selalu disampaikan kepada staf.
Iyalah, kena marah dengan bos berkenaan staf, staf yang buat salah tapi anda yang kena marah. Dek kerana terlalu sakit hati anda pun melepaskan kemarahan anda itu terus kepada staf.

Pada saya, tidak semua teguran dan kemarahan bos itu perlu diberitahu terus kepada staf. Teguran itu kadang kala perlu diterjemahkan melalui tindakan-tindakan pembetulan dan penambahbaikan yang dilakukan oleh anda sebagai seseorang yang bertanggungjawab di jabatan anda.

Dalam keadaan apabila bos memuji staf anda pula, jangan pula disorok-sorok, silalah sampaikan kepada staf anda. Seronoknya mengenai pujian ini anda boleh melakukan sedikit strategi untuk mendorong staf anda. Bukan semua pujian perlu diberitahu ketika itu juga. Ada pujian yang perlu anda simpan dahulu dan digunakan pada masa yang tepat. Contohnya ketika staf anda sedang berputus asa dengan kerja dan mahu berhenti kerja atau tiada semangat untuk bekerja.

Ia juga boleh diselitkan ketika bergurau senda dengan staf. Usik-usik staf sedikit mengenai pujian yang diterima. Seronok usik-mengusik ni, tetapi tidak perlulah keterlaluan.

Pujian ini sebenarnya sangat berkuasa. Ia seperti sebutir peluru emas yang selama ini disimpan di dalam poket anda dan menunggu masa sahaja untuk dilepaskan oleh satu tembakan yang padu.

5.4 Tempat Kerjaku Syurgaku

Semasa saya bekerja dahulu saya menjaga dua buah makmal. Dua buah makmal di bangunan yang berbeza.

Satu di tingkat dua, satu lagi di bangunan yang tiada bertingkat. Namun tidak jauh pun kerana kedua-dua bangunan tersebut terletak bersebelahan. Staf saya boleh menjerit di antara satu sama lain dari kedua-dua buah makmal tersebut.

Pernah satu ketika saya dan seorang lagi eksekutif yang di bawah jagaan saya tidak mempunyai pejabat. Jadi saya pun mensarankan kami untuk duduk di setiap satu makmal tersebut. 

Memandangkan kami juga mempunyai dua set ujian iaitu satu set untuk syif 24 jam dan satu lagi set untuk waktu pejabat sahaja, jadi kami mengambil setiap satu tugasan tersebut.

Rupanya ia bukan satu idea yang baik.

Saya dan juga staf saya sangat tidak selesa. Tidak kira dari pihak saya mahupun pihak mereka.

Mereka memanglah tidak memberitahu saya secara terang-terangan namun saya boleh nampak kejanggalan itu. Saya pun ada ketika agak sukar untuk melakukan sesuatu yang agak peribadi seperti menjawab panggilan telefon dari keluarga saya dan sebagainya.

Lama jugalah kami sebegitu sehinggalah saya berpindah ke pejabat yang baru dibina dan duduk sekali dengan rakan sekerja lain yang di bawah jagaan bos saya.

Selesa, sangat selesa.

Staf saya pun selesa, saya pun selesa. Ruang yang saya jadikan pejabat di makmal itu staf saya jadikan ruang untuk mereka berehat dan untuk solat. Tambahan lagi saya membeli loker baru untuk mereka, lagilah mereka gembira.

Berikan ruang kepada staf, ruang untuk mereka selesa.

Seharian berada di tempat kerja pastilah kita mahukan tempat dan suasana yang selesa. Keselesaan sangat penting bagi staf dan juga anda untuk merasakan bahawa tempat kerjaku adalah syurgaku.

5.3 Jom Bual Santai

Saya suka bergurau.

Saya ingat lagi semasa saya di sekolah menengah berasrama, di kelas prep, saya sering pergi ke meja seorang kawan saya ni dan menemuramah beliau seperti seorang wartawan. Genggaman tangan saya dijadikan seperti mikrofon.

Kawan saya itu rajin pula melayan karenah saya. Diambilnya genggaman tangan saya kemudian disuakan ke mulutnya setiap kali dia menjawab soalan dari temuramah olok-olok saya. Kelakar pula bila mengingatkannya kembali.

Namun walaupun saya suka bergurau saya sangat pendiam bila berada di kalangan rakan lelaki. Entah mengapa saya terasa mereka ini seperti alien, tak tahu nak cakap apa, tak tahu nak bual apa.

Saya mula belajar berbual semasa di universiti. Sedikit demi sedikit saya melihat bagaimana rakan-rakan perempuan saya berbual dengan rakan lelaki, bagaimana mereka berinteraksi.

Saya mula betul-betul belajar berbual semasa saya bekerja. Disebabkan tiada pengalaman bekerja dan menguruskan staf saya mula membaca buku-buku berkaitan pengurusan dan pembangunan diri.

Rupanya bercakap, berbual, bergurau ada seninya, ada tatacaranya, ada etikanya.

Ditambah pula semasa saya bekerja saya juga mula melibatkan diri dengan bisnes pada waktu senggang saya. Tahulah berbisnes ni, ada cara untuk bercakap dengan klien, memujuk dan mempengaruhi mereka.

Rakan sekerja saya yang terlibat dengan bisnes yang sama menyarankan saya untuk membaca satu buku ini, How To Win Friends and Influence People karya Dale Carnegie. Tetapi saya membeli versi bahasa Malaysianya dari kawan saya itu, tajuknya 'Bagaimana Hendak Mendapat Kawan Dan Mempengaruhi Seseorang'. Buku ini sangat membantu saya.

Cara bercakap, berbual, berkomunikasi dengan berkesan boleh dipelajari. Kemudian praktikkan ia di tempat kerja anda.

Sentiasalah berbual santai dengan staf anda. Tidak kira apa topik pun. Antara topik yang selalu saya bualkan bersama staf saya adalah topik hal ehwal semasa, topik keluarga, topik politik di tempat kerja kami juga tidak ketinggalan.

Tidak kiralah anda seorang introvert, ambivert mahupun extrovert, belajarlah seni berbual. Ia pasti tidak merugikan anda, kerana ia mampu membuatkan anda dan staf anda bekerja dengan gembira.