Friday 2 November 2018

3.2 Berikan Mereka 'Kuasa'

Staf akan terdorong apabila diberikan kuasa. Kuasa bolehlah dianggap sebagai satu penghargaan kepada mereka.

Pada permulaan saya bekerja, eksekutif di bahagian operasi akan menghubungi saya untuk mengetahui keputusan ujian makmal. Namun saya katakan kepada mereka, untuk kebanyakan situasi, mereka boleh sahaja berhubung terus dengan penyelia saya di makmal.

Walaupun saya sendiri berada di makmal, adakalanya saya terus sahaja memberikan panggilan telefon dari eksekutif tersebut kepada penyelia saya. Kebanyakan eksekutif yang menelefon ke makmal saya adalah eksekutif dari bahagian operasi kilang yang barangkali ingin bertanyakan semula keputusan ujian kimia yang kami jalankan. Kadangkala juga mereka meminta ujian dibuat semula atau apa-apa tindakan drastik yang perlu dilakukan pada masa itu juga. 

Ia seakan sudah menjadi praktis normal apabila saya melihat penyelia-penyelia saya juga melatih juruteknik-juruteknik di bawah seliaan mereka konsep yang sama.

Mungkin ada yang kurang bersetuju dengan cara saya, tetapi saya perlu melatih mereka. Saya mesti sentiasa bersedia dengan melatih staf-staf saya supaya sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan yang ada semasa operasi kilang berjalan. Ini kerana jadual staf adalah 24 jam sehari dan pastinya ada yang bekerja syif malam. Sudah pastinya saya tiada di waktu malam.

Saya tidak mahu pada pukul 2 atau 3 pagi ada eksekutif dari bahagian operasi yang menghubungi saya termasuklah hal-hal kecemasan. Jadi saya juga melatih staf saya apa tindakan yang sesuai untuk diambil apabila kes-kes kecemasan tertentu terjadi.

Ramai eksekutif yang berbangga apabila mereka mendapat on-call, tetapi maaf, saya tidak.

Saya masih lagi berkuasa? Iya, saya masih lagi berkuasa, kerana apa sahaja perkara yang mereka bincangkan bersama eksekutif itu mestilah diberitahu kepada saya, sama ada melalui lisan atau nota ringkas di dalam buku laporan harian penyelia.

Apapun ia bergantung kepada polisi syarikat anda. Jika syarikat anda yang tidak membenarkannya, anda harus ikutinya. Berikan kuasa kepada staf anda dari aspek lain. Cuba cari satu atau dua tanggungjawab yang boleh diberikan kepada staf anda. Tanggungjawab yang mereka rasakan mereka adalah penting dalam organisasi tersebut. 

Staf suka diberikan kuasa, mereka akan rasa dihargai. Mereka akan merasa mereka adalah entiti yang penting dalam organisasi tersebut. Entiti yang sangat penting.

No comments:

Post a Comment